PERKONGSIAN DARIPADA SAHABAT SAYA,
Malam tadi setelah keluar dari
masjid seusai selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya
berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah kedai makan untuk makan malam.
Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan
hampir kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk
di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu
tiada orang di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya pun memesan makanan
yang saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula
seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab
ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di
sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan
duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami
dalam bahasa Inggeris.
Kemudian pelayan datang kepadanya
dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya
memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri
sahaja? Dan kamu kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon
pintarnya ke arah saya lalu menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea
Selatan, dan saya ingin ke rumah seorang kawan.."
"Oh Korea Selatan.. sekarang
negara itu sedang 'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya
spontan bersahaja sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata
gadis itu kembali ke telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di
atas skrin sesentuh dan kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan
sesuatu dari telefon pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang kamu
tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan
oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan nada yang tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak
bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan terhenti seketika beberapa
lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan kembali datang dengan membawa
pesanan saya dan minuman gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya
tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk
bercerita kepada saya, saya akan mendengarnya…" jawab saya dengan tenang
sambil mula menghirup jus tembikai susu yang saya pesan.
"Ok sekejap beberapa minit, selepas
saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat
bermain di dada skrin telefon pintarnya.
Saya hanya mengangguk-angguk sambil
mengangkat kening dan mula menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun
saya sedar bahawa memakan dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah
Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan
bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan
menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu
perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali
sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh
saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan
pelik yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan
simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang
menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila
gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk menikmati hidup
mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat
lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana dengan kolam
renang jika memenangi pertandingan tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini
dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa
berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas
saya lagi ingin tahu.
"Oh, ia sesuatu yang amat
dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu menceritakannya kepada kamu. Tapi
saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu dapat tahu apa kisah benar yang
berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya
memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok... Pertandingan itu, untuk
sampai ke tempat pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri daripada
perempuan-perempuan muda yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung
seekor kuda kira-kira 500 meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat
pertandingan yang merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan
di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai
kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi
pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka
disambut oleh pihak penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada dua
kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya
ialah laluan berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan
dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah
sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan
itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta
yang masih bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai
jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat berbahaya, namun para peserta hanya
melakukannya dengan memakai kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil
disaksikan dan disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut
dari sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti
ianya dirakam ataupun tidak."
"Terus-terang, ia adalah
pertandingan membunuh diri yang paling gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang
berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.
"Satu ketika di salah satu
trek, para peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi
salah sebuah menara di istana tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di
bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula
menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati
hidangan dan minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai perserta ketika itu yang
terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang
terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada
yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati
lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam
renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan
mereka sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu,
mereka yang tercedera ketika itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan
sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka
sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis
sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis
yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya,
mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila
tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada
tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang
merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah
terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba
untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai di sini tiba-tiba gadis itu
sebak... wajahnya berubah dan air matanya serta-merta mengalir laju dan
menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut
dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,
"Hey, please don't cry here…
people will look to us. Please calm down. I'm sorry so much to make you telling
me this story…" kata saya kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya membiarkannya dengan
keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya,
"Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya
minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya
sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang
belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."
"Ia ok... ia ok... ia ok...
(sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan miliknya)... maafkan saya
kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu tahu, salah seorang gadis yang mati
kerana pecah badannya ketika jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah
adik perempuan saya sendiri... Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya
menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh diri bapa saya sakit selama
berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."
Pada waktu ini dia kembali diam
beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia
menarik nafasnya dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki
dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu gila
orang-orang kaya Korea."
"Sejurus selepas tamat
pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang memberitahu bahawa
adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan dan saya dikehendaki
ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia mendapat nombor telefon
saya daripada adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami
dikhabarkan adik saya telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut
dan mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya...
dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan menangis
macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya sanggup menyertai
pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai gadis simpanan
orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan adik saya
sendiri."
"Beberapa minggu kemudian ibu
saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji.
Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya ke
hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu
sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya
pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita
beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan
tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini
adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat
kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih
kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa dengan seorang imam
di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita
kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala
ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada.
Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan
mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan
saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa
saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran
yang berkumandang di ibu pejabat markaz Islam di bandar Seoul. Imam itu salah
seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat
indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu kembali gagah
seraya berkata, "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan
dan kembali dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan
segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat
Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan
hidup yang benar daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum
minumannya...
"Kisah kamu amat menarik tetapi
menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik
kamu, atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya
kembali kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah
melaporkannya kepada pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang
wartawan dan melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak
polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh
mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada
pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang
membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba
menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia tidak dapat
dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang
mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal
dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan
kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak mendedahkannya
kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain.
Laporan polis di sana pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat
cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke
bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis
sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala
mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang
dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti
rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan
dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak polis. Yang pasti di
sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk menteri-menteri
kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa
yang wang dan kuasa boleh buat pada kita." jawabnya lagi dengan panjang
lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh, ok... ianya sesuatu yang
gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu berada
di Malaysia? Dan... apa yang kamu sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi…
bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya
dengan rasa ingin lebih tahu.
"Kamu agak saya berumur
berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak dan
saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah sedih itu hanya berlaku
pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah
kamu tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di
berada di Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di *******
University dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya
bertemu-janji dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi
menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat
sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada jujur.
"Oh, kamu sungguh berani. Di
Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu
malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat
menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dendam untuk
kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..." kata saya lagi
kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah tentu...! Suatu hari
nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar
Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya dengan nada yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta
lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat
sinis tentangnya dan dia pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana..
namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat
mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan
mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat
marah dengan Gangnam..." balas saya sambil mengangkat kedua-dua kening dan
menyedut jus tembikai susu yang masih berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura
seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya
pantas kepada saya.
"Tidak, tidak... saya
benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah kamu. Bahkan di sebalik itu, saya
dapat melihat kamu seorang yang tabah, kuat dan berani." balas saya
kembali untuk menenangkannya.
"Oh ya, adakah kamu datang sini
dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami kamu dan kerjaya kamu di
Korea?" tanya saya kepadanya dengan meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum bersuami
dan saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini.
Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau ke
Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam
di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih
ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah
memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di
Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya dengan reaksi
yang kembali ceria sambil tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah
belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab
saya.
"Oh benarkah? Ceritakan kepada
saya tentang Syria... saya bertuah bertemu dengan kamu." tukasnya teruja
dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya di sini perbualan kami
mula bertukar topik kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta
topik-topik lain yang sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga
bercerita sedikit sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai
membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama juga kami bersembang sejak jam
9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan
kedai tersebut dan gadis itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala
pesanan makanan saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya
bernama Nadiah. Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang
mengislamkan mereka di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea
Selatan. Saya pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir
sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini
Allah telah memuliakan mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu
sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya
di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah.
Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca
dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak
benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini,
dapatlah kita mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu
iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai
nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan
negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi
Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara
bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di
negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat
berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa
seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat
padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah
seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan
raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang,
saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu
sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang
hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat
lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat
lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana
sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan
membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti Sofiyyah dan
menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke
rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan
tidak bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan
kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia.
Di dalam hati saya sepanjang pulang,
"Allahu Rabbi.... alhmdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil
kaki saya sekali-sekala menyepak batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua
tangan dimasukkan ke dalam poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka
menunduk ke arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap
berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di
negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah
gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita.
Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang
mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi
gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.
Allahu Allah, betapa teruknya
manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah
kami di dunia dan di akhirat...
[Kisah benar ini selesai ditulis
semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55 AM]
P/S: SAPER2 YANG NAK SHARE SILAKAN, SEBARKAN!!
Inilah ia konsert lagu Gangnam Style
yang menjadi kegilaan muda-mudi Korea.. lihatlah betapa dahsyatnya pengaruh
lagu dan tarian Gangnam Style ke atas mereka: